Maklumat
Seni Filem
Filem -
antara misteri dengan tahyul
Oleh: A.
Wahab Hamzah
Apabila peraturan yang melarang filem yang berunsur
tahyul dan dongengan ditayangkan, akibatnya sejumlah filem Melayu dibekukan tayangannya di
pawagam dan televisyen. Tujuan larangan ini antaranya untuk memelihara akidah orang Islam daripada dipengaruhi dan dicemar oleh filem
sedemikian. Namun, hal yang sama nampaknya tidak berlaku terhadap filem asing yang ditayangkan di negara ini, terutama filem
dari Amerika, Hong Kong, India, dan Indonesia. Filem seram, fantasi, dan dongeng daripada
keempat-empat buah negara itu bebas ditayangkan di pawagam negara ini dengan hanya diberi label
tayangan 18SX yang mengehadkan tayangannya kepada penonton yang berusia 18 tahun ke atas
sahaja.
Baru-baru ini semacam ada kelonggaran ke atas penayangan filem Melayu yang mempunyai unsur
tahyul, dongeng, dan seram. Antara yang terbaru ditayangkan termasuklah Cucu Datuk Merah yang memaparkan
adegan tahyul dan seram yang menunjukkan ada kuasa lain yang
terlibat.
Antara filem Melayu lama yang mempunyai unsur dongeng atau
tahyul, dan seram termasuklah Panca Delima (P. Ramlee), Hantu Jerangkung
(K.M Basker), Hantu Kubur (Chew Cheng Kok), Batu Belah Batu
Bertangkup, Bawang Putih Bawang Merah, dan Si Tanggang (Jamil Sulung), Anak Buluh
Betong (S. Kadarisman), Pontianak, Dendam Pontianak dan Sumpah Pontianak, Gul Bakawali, dan Jula Juli Bintang
Tujuh (B.N. Rao), Dupa Cendana (Ramon Estella), serta Lancang Kuning dan Cucu Datuk Merah (M.
Amin). Manakala antara filem baru yang mempunyai unsur tahyul dan fantasi
yang turut menerima kesan larangan itu termasuklah Fantasia (Aziz M.
Osman).
Soalnya, adakah penonton Melayu yang beragama Islam mudah dipengaruhi oleh unsur
tahyul dan dongeng, atau filem Melayu lebih mudah mempengaruhi penonton Melayu berbanding dengan filem lain?
Adakah benar filem mudah mempengaruhi penonton dengan imej tahyulnya dan fantasinya? Adakah kesan
tahyul dan dongeng fantasi sama dengan kesan keganasan atau kekerasan dan unsur budaya liar dalam
filem ke atas minda penonton?
Adakah filem dengan mudah dapat mempengaruhi minda penonton, atau penonton kerana sifatnya yang
pasif dengan mudah dikuasai oleh imej filem? Untuk menjawabnya, pemahaman diperlukan dalam konteks
kerja filem dan mentaliti penonton sendiri. Malah soal mitos, fantasi, dan seram dalam konteks penonton
dan masyarakat hari ini sudah jauh berubah selaras dengan perubahan sosial masyarakat. Dalam konteks
filem, mitos, fantasi, dan seram memberi pengertian yang berbeza.
Larangan tayangan filem yang berunsur
tahyul, dongeng dan seram bertujuan supaya penonton tidak mudah percaya dan dipengaruhi dengan apa-apa yang
ditonton yang seterusnya memungkinkan akidah mereka tercemar. Namun, melalui pemahaman kita berdasarkan hujahan bandingan di atas, kita tidak
mudah menerima kenyataan tersebut.
Filem dihasilkan atas tujuan hiburan. Dan hiburan pada perspektif seseorang berbeza. Ada penonton yang
berasa terhibur dengan bentuk hiburan romantis yang ditontonnya, seperti menonton filem Hindustan.
Kekerasan dapat juga menjadi hiburan bagi sebahagian penonton, maka lebih keras dan ganas filem
itu, lebih terhibur. Ada penonton yang terhibur dengan imej seram. Lebih menyeramkan imej
itu, lebih menyeronokkannya. Kalau penonton menganggap apa-apa yang
ditonton sebagai hiburan, adakah hal itu bermaksud mereka lebih mudah dipengaruhi oleh imej tersebut? Seperti juga pendapat bahawa keganasan
dan kekerasan dalam filem dikatakan dapat mempengaruhi penonton, sebenarnya persoalan itu masih
didebatkan. Sungguhpun banyak pakar psikologi percaya bahawa ada hubungan antara kekerasan di layar
dengan perilaku masyarakat terutamanya remaja, belum ada kajian yang menunjukkan cara unsur
tahyul, seram, dan mitos mempengaruhi penonton, terutama remaja hari
ini.
Sebenarnya lebih banyak penonton yang menganggap menonton filem seram dan
tahyul sebagai hiburan di samping mengimbau kenangan masa lalu
mereka. Yang penting mereka tidak mudah dipengaruhi. Menonton Si Tanggang atau Malim Kundang bukan bermakna keyakinan atau kepercayaan penonton akan
berubah. Tetapi sebagaimana cerita nenek, ceritanya bermaksud tentang hukuman terhadap anak yang
derhaka kepada ibu bapanya. Ceritanya berbaur antara amanat dengan moral yang sebenarnya sudah kita
ketahui ceritanya yang tragis itu. Antara yang legenda, kenyataan, dan mitos dapat dibezakan oleh
penonton kerana mereka menonton berdasarkan sistem nilai yang dimiliki hari ini. Dengan nilai yang
sedemikian, mereka berhadapan dengan perbezaan pengetahuan antara watak dengan
khalayak. Sungguhpun ceritanya dibuktikan secara legenda, seperti wujudnya Batu Caves, kita boleh menerimanya
sebagai aktiviti metafora yang sebenarnya disesuaikan dengan cerita. Begitu juga sebagaimana cerita
dahulu yang mengatakan asal usul binatang dan legenda pontianak dalam
cerita rakyat Melayu atau dracula dan vampire dalam cerita rakyat
Eropah.
Filem Melayu lama yang memaparkan kisah, seperti Anak Buluh Betong, Bawang Putih Bawang
Merah, Pontianak, dan Panca Delima, atau filem yang mempunyai adegan
misteri, tahyul yang memaparkan kuasa yang lain, seperti Lancang Kuning, Cucu Datuk Merah atau Sumpah Orang
Minyak, adalah sebahagian daripada warisan cerita rakyat Melayu lama yang hari ini hanya diterima sebagai hiburan di samping unsur
amanat dan moral yang dapat dimanfaatkan. Ceritanya lebih menunjukkan kuasa yang baik melawan kuasa
yang jahat. Nilai moral dan pendidikan yang diterima oleh
masyarakat, terutama kanak-kanak dan remaja, memudahkan mereka membezakan realiti dan fantasi yang dipaparkan dalam filem itu. Hal yang sama
berlaku apabila mereka menonton Fantasi yang pernah menimbulkan kontroversi hingga ditahan
penayangannya. Penonton menontonnya sebagai hiburan dan dapat membuat penilaian
dengan menolak aspek yang tidak relevan dengan kehidupan moden hari
ini.
Namun, nilai dan pemodenan tidak bermakna masyarakat akan menolak terus cerita
legenda, tahyul, fantasi, dongeng, dan mitos dahulu. Biarpun secara
realitinya diterima sebagai tidak wujud, filem masih tetap dan mahu memainkan kisah ini kerana mitos, dongeng, dan
tahyul mempunyai unsur dramatik dan imej visual yang cukup sesuai untuk filem. Sebab itulah Hollywood terus memfilemkan kisah dracula atau
vampire, mitos atau legenda, dalam keadaan mereka yang sangat moden. Yang menjadi keutamaan mereka
adalah untuk memperlihatkan keupayaan teknologi dalam memvisualisasikan apa-apa yang difantasikan
oleh mitos mereka. Dengan bantuan CAD (Computer Added Design) dan CGI (Computerised Generated
Images), imej yang dahulunya hanya dapat dibayangkan kini sudah dapat ditunjukkan fizikalnya di atas
layar. Bukankah Star Wars arahan George Lucas telah mengubah perspektif penonton? Filem itu
menggabungkan fantasi, mitos, dan tahyul ke dalam realiti baru yang menggabungkan sains dan teknologi
yang hebat. Bagaimanakah kita menerima filem ini? Begitu juga apabila kita menonton Ghost, Wolf, The
City of Angel, atau paling akhir The Sixth Sense. Bukankah filem ini juga mampu mempersoalkan
keyakinan dan kepercayaan kita? Kerana imejnya bersandarkan realiti hari ini, bukankah impaknya lebih kuat
mempengaruhi penonton? Berapa banyak penonton yang terpesong keyakinannya kerana menonton filem
ini?
Sebenarnya bukan soal imej
tahyul atau mitos serta fantasi yang kononnya menggugah iman atau
mengubah akidah yang perlu dipersoalkan pada filem hari ini. Yang perlu difikirkan bagaimana, ideologi
pascamoden yang menguasai kehidupan hari ini sebenarnya telah melenyapkan elemen yang dahulunya
dianggap taboo oleh masyarakat? Pemodenan telah menghilangkan perbezaan antara taboo yang
"baik" dengan yang "jahat". Taboo seksualiti juga telah
dimusnahkan, aspek yang tidak berperi kemanusiaan telah secara beransur berubah menjadi positif. Sejarah dikacaukan, tradisi yang baik semakin
dipinggirkan. Perubahan ini menjadi global dengan watak budaya yang semakin mudah diterima. Inilah antara elemen
yang sedang menguasai filem hari ini. Bentuk nilai pascamoden yang
menguasai filem inilah yang menggusarkan pemikir seperti Ziauddin Sardar dalam eseinya "Terminator 2: Modernity, Postmodernism,
and The ‘Other’" (Futures, Jun 1992).
Filem menjadi penyalur ideologi moden yang berkesan yang sedang membentuk budaya jelata dan global.
Filem lebih berkesan dalam konteks ini. Merisaukan hal yang tidak relevan seperti
tahyul dan mitos tradisi dalam filem Melayu bukanlah isunya. Melarang tayangannya bukan juga caranya. Soal
tahyul atau mitos yang kononnya menggugat keimanan atau menyelewengkan akidah hanya kerisauan mereka yang tidak
faham tentang filem atau kerana mereka memang masih dalam kepompong "keyakinan lama" yang tidak
sedar bahawa tamadun, budaya, dan keyakinan masyarakat, terutama Melayu telah lama
berubah. Mereka sudah boleh melihat kisah legenda atau cerita yang berunsur
tahyul, seperti Pontianak, Anak Buluh Betong, dan Fantasia, sebagai hiburan. Pada
mereka, cerita dan filem ini adalah sebahagian warisan budaya lama Melayu yang cukup bernilai, yang wajar disimpan untuk kajian antropologi, yang tidak wajar
dimusnahkan atau dipengap kerana unsur hiburan dan nilai moral serta amanat di dalamnya. Jika
ditonton, tidak mungkin banyak anak muda mudah dipengaruhi dan mengubah akidah mereka. Tidaklah semudah
itu.
Sumber:
Dewan Budaya (Februari 2000)

|
|