Maklumat
Seni Filem
Filem dan lakonlayar
Oleh: Ku Seman Ku Hussain
Filem adalah medium yang membawa cerita kepada penonton. Pembikinan filem adalah seni menterjemah
elemen teks daripada lakonlayar dengan elemen visual yang dihasilkan menerusi lensa kamera. Tugas
pengarah adalah menterjemah lakonlayar dalam bentuk sinematik.
Lakonlayar pula adalah milik penulis
lakonlayar dan pengarah tidak boleh sewenang-wenang mengubah mengikut
apa yang difahami. Sebaliknya pengarah wajar cuba memahami lakonlayar. Di negara ini terdapat
beberapa kekeliruan apabila ada pengarah bukan cuba memahami lakonlayar
tetapi mengubah lakonlayar.
Apabila berada dalam situasi ini ada lebih baik pengarah menulis sendiri sebuah
lakonlayar baru dengan cerita yang baru. Sekiranya pengarah mahu menggunakan
lakonlayar oleh penulis lain, maka dia terpaksa memahami lakonlayar
berkenaan.
Sekiranya
lakonlayar berkenaan didapati kurang memuaskan, jalan yang terbaik ialah menolak
lakonlayar itu dan bukan menulis semula mengikut apa yang dia faham. Sekiranya ini berlaku maka perbuatan itu
seolah-olah menafikan kewujudan penulis lakonlayar.
Di negara ini juga berlaku di mana penulis dianggap menghasilkan
"skrip" sementara pengarah menulis semula dan meletakkan nama mereka sebagai
"penulis lakonlayar". Apa bezanya skrip dengan lakonlayar?
Inilah yang berlaku dalam pembikinan filem Embun arahan Erma Fatima daripada
lakonlayar Rohiman Harun. Erma menganggap karya Rohiman sebuah skrip dan dia menulis
lakonlayar bagi Embun.
Tetapi berbeza dengan Paloh apabila Adman Salleh menggunakan
lakonlayar karya Ismail Ahmad yang bertajuk Autonomi sebagai cerita asal saja. Adman menulis semula dengan menggunakan watak ciptaan
Ismail Ahmad. Paloh tentunya bukan lagi Autonomi kerana Adman tertarik dengan latar dan watak dalam
Autonomi tetapi kurang berminat dengan lakonlayarnya.
Maka Adman boleh dianggap menghasilkan sebuah
lakonlayar baru diasaskan daripada cerita dan watak ciptaan Ismail Ahmad. Ini sama dengan mengangkat satu fragmen dalam sebuah novel lalu dikembangkan
menjadi lakonlayar sebuah filem.
Sementara U-Wei Haji Saari pula kerap kali bekerjasama dengan penulis untuk menghasilkan
lakonlayar filem dan drama arahannya. Tetapi tidak semua penulis boleh menghasilkan
lakonlayar yang baik sekalipun mempunyai cerita yang menarik.
Ini kerana penulis
lakonlayar perlu melihat cerita dan watak bergerak daripada perspektif pengarah. Dua
atau tiga halaman lakonlayar barangkali boleh disampaikan dalam beberapa saat saja di
filem.
Definisi
lakonlayar adalah suasana yang digambarkan oleh penulis dalam sesuatu adegan biarpun dengan
sebaris ayat. Tidak ada istilah skrip dalam perfileman kecuali filem tempatan. Kita yang masih lagi menulis
credit title penulis lakonlayar sebagai penulis skrip.
Sergei Eisenstein dalam satu esei bertajuk Dickens, Griffith and the Film Today
menulis: "Novel karya Dickens telah menyediakan kepada Griffith beberapa teknik filem seperti fades, dissolves atau parallel
editing."
Penulis
lakonlayar ada peranan yang besar dalam sesebuah filem. Mereka bukan menulis kata bual atau
dialog filem tetapi menulis tempo keseluruhan bagi filem berkenaan. Biarpun teori auteur menganggap
pengarah adalah pengarang kepada filem arahannya tetapi dalam keadaan lain penulis
lakonlayar tetap penting. Teori auteur diasaskan oleh kelompok karyawan generasi baru dekad 50-an di Perancis dan
mendapat sokongan padu oleh pengkritik filem Andre Bazin yang menerajui majalah filem Cahiers du
Cinema.
Tetapi tidak semua pengarah senang dengan penulis
lakonlayar malah ada yang tidak menggunakan lakonlayar terutama pada era filem bisu. Ketika itu pengarah lebih banyak melakukan improvisasi semasa
penggambaran. Malah pengarah seperti Jean-Luc Godard lebih gemar menggunakan catatan ringkas
semasa mengarah. Sebahagian besar filem arahan Godard bertolak daripada idea yang dirangkumkan dalam
beberapa baris ayat saja.
Dalam pada itu banyak pengarah tersohor memilih untuk menulis sendiri
lakonlayar filem arahan mereka. Ini satu tindakan bijak kerana mereka tahu apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan semasa tranformasi teks
ke visual. Antaranya ialah Cocteau, Eisenstein, Ingmar Bergman dan Herzog. Begitu juga dalam industri
filem Amerika yang banyak melahirkan penulis dan pengarah (writer-director). Antara nama besar yang
banyak menulis sendiri lakonlayar filem arahan mereka ialah Charlie Chaplin, Orson Welles, Wilder, Woody
Allen dan Francis Ford Coppola.
Ada beberapa kelebihan apabila pengarah menulis sendiri
lakonlayar filem mereka. Apabila pengarah menulis lakonlayar maka dia boleh mengembangkan idea daripada teks ke sinematik secara lancar. Mereka
juga tidak perlu lagi untuk memahami dan mentafsirkan idea yang digarapkan dalam
lakonlayar yang dihasilkan oleh penulis lain.
Daripada
lakonlayar penulis lain, pengarah memikul tugas untuk menzahirkan mise en scene
(pengadegan) yang dilakarkan menerusi teks lakonlayar. Ada kalanya menepati kehendak penulis tetapi tidak kurang juga
bercanggah kerana penulis melakarkan dengan teks tetapi pengarah perlu mevisualkan dengan keperluan
yang lain.
Godard yang banyak menulis sendiri
lakonlayar filemnya pernah berkata, "Saya menganggap saya seorang
penulis esei. Menghasilkan esei dalam format novel atau novel dalam format
esei." Godard pada masa yang sama mengkritik penulis-penulis
lakonlayar Perancis yang tidak sehebat penulis Amerika.
Lakonlayar dianggap karya kesusasteraan yang mempunyai hubungan paling rapat dengan
perfileman. Lakonlayar mempunyai cerita, watak, suasana yang boleh memberikan gambaran kepada mereka yang
membaca. Malah novel juga dalam bahagian tertentu adalah lakonlayar
yang memberikan gambaran suasana dengan teks kepada pembaca.
Ada kalangan pengarah yang bukan seorang pencerita yang baik. Tetapi mampu menyampaikan cerita
daripada lakonlayar dengan penguasaan sinematik yang baik. Maka pengarah ini terpaksa bergantung
kepada cerita orang lain dan menyuntikkan idea untuk dimantapkan apabila
difilemkan.
Bercerita dengan teks dan menggunakan elemen sinematik adalah dua perkara yang sangat
berbeza. Penguasaan teks dan sinematik ada kalanya meletakkan pengarah dan penulis
lakonlayar dalam ketegangan apabila masing-masing mempertahankan cara
tersendiri.
Lakonlayar yang baik akan menjelmakan visual pada penghayatan siapa yang membaca naskhah
itu. Elemen visual dalam naratif dan pelukisan teks mampu dihadirkan bersama suasana pada setiap
adegan. Maka tugas pengarah ialah memberikan elemen visual kepada naratif
lakonlayar dan menyampaikan teks itu dalam bentuk visual kepada
penonton.
Sumber:
Utusan Online (23 Mac 2003)

|