Maklumat
Seni Filem
Filem dan revolusi digital
Oleh: Ku Seman Ku Hussain
Filem Spy Kids 2: The Island of Lost Dream yang baru ditayangkan di Amerika Syarikat ketika ini
mempunyai cerita menarik mengenai revolusi digital dalam perfileman. Pengarah filem ini ialah Robert
Rodriquez, seorang anak muda yang berusia 34 tahun. Impiannya mahu menjadi pengarah
filem.
Tetapi bagi seorang pengarah muda yang bermula dengan filem bebas di luar arus perdana Hollywood,
Rodriquez merentasi banyak halangan. Bagaimanapun Rodriquez masih bernasib baik. Ketika dia bercita-cita
menghasilkan filem, revolusi digital semakin dekat dalam pembikinan filem malah menjadi alternatif kepada
kaedah tradisional. Siapa pun hampir tidak percaya bahawa dengan bermodalkan AS$7,000, dia
menghasilkan filem El Mariachi tahun 1992. Filem berbelanja murah ini terus meletakkan namanya di
Hollywood. Kejayaan ini kerana sebuah kamera digital dan komputer
peribadi.
Revolusi digital dihambat oleh dua mimpi yang berbeza. Bagi studio gergasi, revolusi digital adalah
pemangkin mencipta satu horizon baru dalam era neo-realisme. Tetapi kepada pengarah
amatur, revolusi ini melahirkan kamera digital yang mesra dan tidak cerewet. Ia tidak menuntut belanja besar dan
penglibatan pasukan kreatif yang banyak. Seperkara yang penting daripada penggunaan kamera digital
ialah lebih mudah menyunting, memasukkan kesan visual yang asas dan dapat melihat hasil rakaman pada
masa penggambaran.
Tanpa kamera digital, filem Blair Witch Project misalnya tidak mungkin dapat dihasilkan dengan belanja
sekecil AS$22,000. Filem ini bukan saja mampu dihasilkan malah mencatatkan kutipan kasar AS$140 juta
untuk di Amerika saja. Pengarah Thomas Vinterberg pula tentunya tidak pernah menyangka filem The
Celebration yang dihasilkan dengan kamera digital memenangi Anugerah Khas Juri di Festival Filem Cannes
tahun 1998.
Kalangan pengarah filem bebas memilih menggunakan kamera video digital adalah kerana ia dapat
mengurangkan belanja berbanding menggunakan filem. Kaedah tradisional bukan saja terpaksa
menggunakan filem yang semakin mahal, malah melibatkan tenaga kerja yang
banyak.
Siapa sangka filem Spy Kids 2: The Island of Lost Dream hanya dihasilkan dalam garaj kereta di belakang
rumah Rodriquez di Texas. Dengan sebuah kamera digital dan komputer, pengarah muda ini bukan saja
menulis skrip dan mengarah malah menjadi pengarah fotografi, pereka produksi penyunting, penyelia kesan
visual dan komposer. Ini kerana semasa Rodriquez merancang menggunakan kamera digital tahun 1991,
Apple memperkenalkan perisian Quicktime untuk kemudahan membuat suntingan video.
Sejak pengarah filem bebas banyak menggunakan kamera digital, peminat filem juga telah menerima
perubahan ini. Buktinya filem pendek arahan Jeremy Hunt dan Bruce Branit, 405 yang memaparkan
pendaratan cemas sebuah pesawat penumpang di Los Angeles. Filem pendek ini disiarkan menerusi laman
web mereka sendiri. Tidak lama selepas disiarkan pada Jun 2000, filem 405 telah dimasukkan ke portal
komersial dan dalam masa dua bulan lebih sejuta orang telah menonton filem ini. Semua ini kerana
memanfaatkan revolusi digital yang tanpa sempadan itu. Pengarah amatur negara ini yang tidak mendapat
kepercayaan menghasilkan filem box office masih ada alternatif untuk menghasilkan filem. Di luar
negara, filem tidak saja dinilai berapa untungnya tetapi setinggi mana
pengucapannya.
Sumber:
Utusan Online (12 Ogos 2002)

|