Maklumat
Seni Filem
Imej-imej yang sukar dilupakan
Apabila kita menonton filem, hasrat kita yang paling awal pastilah kerana digerakkan oleh
ceritanya. Demikianlah kita selalu menyoal tentang cerita yang hendak
kita tonton itu terlebih dahulu sebelum kita hendak hal-hal yang umpamanya siapa pelakonnya, pengarah filem tersebut dan kepada yang lebih
meminati tentang filem akan menyoal tentang tekniknya.
Apabila kita menonton filem, apa yang kita tonton sebenarnya adalah imej-imej yang membentuk visual
filem tersebut. Filem adalah sensitif, apabila kita menontonnya (visual) kita dapat merasakan yang ia
dihasilkan dengan riang, marah atau penuh kehalusan. Sinematografi, kata Mario Tosi (pengarah fotografi
filem Resurrection) lebih dari sekadar menghasilkan gambar yang
cantik.
Biarpun tidak secara keseluruhan visual filem itu akan mempengaruhi kita tetapi ada momen, shot atau
adegan tertentu yang pastinya sukar kita lupakan, yang membuatkan kita mengingati imej itu lama setelah
filem itu kita tonton. Selalunya imej yang menganggu dan menyentuh fikiran kita akan kekal bertahun
lamanya. Yang membuatkan kita hendak menonton filem itu semula, sekadar untuk melihat imej atau shot
atau adegan yang begitu menyentuh itu.
Kalau hal ini berlaku pastinya kredit itu wajar diberikan kepada pengarah fotografi (yang dalam konteks
sinema Malaysia jarang diingati hasil kerjanya dan tidak selalu dikenali) yang telah melakukannya dengan
halus dan berseni. Setelah menonton begitu banyak filem dalam tugas di ruangan ini pastilah saya juga
mempunyai momen atau imej dari filem yang ditonton dan sukar saya lupakan. Begitu juga banyak juga
filem yang visualnya membuatkan saya lemas, mual dan segera hendak
dilupakan.
Bukan teknik fotografi yang kompleks yang menambat hati saya tetapi selalunya imej yang kelihatan simple
lebih memberikan kesan yang mendalam.
Seorang pengarah fotografi menggunakan cahaya dan bayang untuk mencipta imejnya. Pengarah fotografi
adalah seorang yang mengawal dan memberi rupa dan stail visual sesebuah filem. Dengan cahaya dan
bayang, si pengarah fotografi akan mencipta puisi imej yang akan memperkuatkan
cerita.
Umpamanya siapakah yang dapat melupakan visual pembukaan filem Antara Dua Darjat arahan P. Ramlee
yang menunjukkan satu watak terpijak papan pintu pagar yang sudah terjatuh dan berabuk. Shot itu
sahaja telah menjadi inti kepada keseluruhan filem tersebut. Begitu juga siapakah yang dapat melupakan
imej visual yang begitu puitis di dalam filem Pather Panchali arahan Satyajit Ray.
Saya masih sukar melupakan adegan Durga dan Apu berlarian di tengah padang rumput dan pertama kali
melihat keretapi. Tanpa kata-kata visual itu begitu kuat sekali kesannya. Begitu juga imej yang
menunjukkan Hang Jebat membawa diri ke tepi pantai selepas Hang Tuah difitnah. Antara alam dan Hang
Jebat seakan menyatu dan menyarankan makna yang lain.
Barangkali antara imej filem yang sukar dilupakan kesannya hingga ke hari ini ialah adegan pembunuhan di
bilik mandi di dalam filem Psycho arahan Alfred Hitchcock. Adegan pembunuhan yang hanya mengambil
masa beberapa saat tayangan itu dilakukan dengan begitu stailis oleh pengarah fotografinya iaitu John
L. Russell.
Adegan kejam dan darah yang mengalir yang dirakamkan dalam hitam putih itu cukup terasa sekali
kesannya. Begitu juga adegan yang mengharukan dalam adegan yang mana munculnya Marlon Brando
sebagai Kol. Walter E. Kurtz di babak-babak akhir filem Apocalypse Now arahan Francis F. Coppola.
Kawalan cahaya yang begitu baik oleh Vittorio Storaro memungkin watak Kol. Kurtz muncul dengan imej
yang mengerikan, hodoh, nanar dan bersarang dilema moral. Cahaya bagi Vittorio Storaro adalah
tenaga.
Sebagai pengarah fotografi dalam filem itu Storaro mempunyai tanggungjawab memilih jenis yang tepat
sahaja, tonaliti yang tepat, citra yang tepat dilahirkan oleh cahaya itu dan juga kemungkinan warna yang
terhasil darinya menepati kehendak cerita. Sepertimana imej yang dihasilkannya dalam Apocalypse Now,
Storaro gemar bermain dengan konflik yang dihasilkan dari kontras cahaya dan bayang. Baginya apabila
ada kesatuan dalam dua konflik yang berbeza itu ia akan menghasilkan keseimbangan. Dan apabila ini
terhasil, ia akan menghasilkan imej yang cukup indah.
Antara imej filem yang masih baru yang masih memukau perhatian saya ialah imej-imej yang dihasilkan oleh
pengarah fotografi The English Patient (arahan Anthony Minghella) iaitu John Seale. Visual gurun Sahara
yang digambarkan bukan sahaja begitu menarik tetapi penuh emosi dan sarat dengan
makna. Dan pastinya juga imej yang sukar dilupakan ialah shot-shot yang mengiringi adegan pertemuan Hana dan Kip di sebuah
bekas gereja lama, yang bukan sahaja digambarkan dengan indah tetapi juga cukup
emosional.
John Seale adalah pengarah fotografi kelahiran Australia yang terkenal kemahirannya dalam mengambarkan
lanskap. Pengalaman itu dibawanya ke Amerika apabila dia membantu menghasilkan imej visual yang begitu
menarik dalam filem Witness arahan rakannya dari Australia juga iaitu Peter Weir.
Sebenarnya kalau anda penonton filem yang tekun, anda tidak sahaja menonton filem kerana hendak
melihat kekuatan penggarapan pengarahnya, keupayaan pelakon tetapi juga kita hendak merasakan riak
dan getar yang dibawakan oleh visual yang dihasilkan oleh pengarah
fotografi.
Di Amerika sejumlah pengarah fotografi terbilang perlu diberi perhatian seperti John Alonzo, John Bailey,
Gordon Willis, Laszlo Kovacz, Michael Chapman, Alex Thompson, Billy Williams, Sven
Nykvist, Robert Richardson, Nestor Almendros, atau yang lebih baru seperti Darius Khondji yang bertanggung jawab
memberikan stail impresionistik dalam filem Stealing Beauty arahan Bernardo
Bertolucci.
Bagi pembikinan filem tempatan kita telah berjaya menghasilkan sejumlah pengarah fotografi yang
baik, antaranya Badaruddin Azmi, Jamal Maarif, Zainal Othman dan Indra Che Muda. Kita percaya ramai lagi
pengarah fotografi yang berbakat yang sekarang ini banyak berkhidmat dengan agensi filem-filem
komersil.
Bagaimana kalau pengarah fotografi diberi peluang mengarah filem? Kata Vilmos Zsigmond, dia akan
memberi perhatian sepenuhnya kepada cerita dan lakonan. Itulah elemen yang paling penting dalam
mana-mana filem. Jika kita mempunyai fotografi yang bagus itu adalah satu bonus. Barangkali kata-kata ini
mengingatkan kita kepada filem Heavens Gate (arahan Michael Cimino dan arahan fotografi oleh Vilmos
Zsigmond).
Filem ini gemilang fotogafinya tetapi gagal kerana terabainya aspek cerita. Sesungguhnya bagi sesebuah
filem, biar sebaik mana imej-imej yang dihasilkan, ia tidak akan dapat berdiri sendiri. Filem perlu dinilai
secara keseluruhan. Seperti juga kata Zsigmond, sebagai pengarah fotografi dia perlu melakukan filem
yang diarahkan oleh pengarah, kerana tidak ada istilah cinematographers film. Kerana imej tidak mungkin
lebih baik dari cerita.
Sumber:
Utusan Online (20 Februari 1998)

|