Maklumat Seni Filem

Poetic justice dan filem melayu

Oleh: Ku Seman Ku Hussain

''Ala Kassim, ampunkan mak Kassim.'' Ini dialog Mak Dara yang diingati hingga sekarang ini. Mak Dara yang berwajah bengis dan berwatak angkuh adalah ibu mertua Kassim Selamat dalam Ibu Mertuaku arahan P. Ramlee.

Keinsafan Mak Dara sebenarnya ada kaitan dengan poetic justice yang menunjangi filem dan drama Melayu. Kebanyakan filem atau drama hari ini beracuan seperti filem-filem terawal.

Acuan ini juga menunjangi kebanyakan filem India hingga hari ini. Bagi filem India kecuali karya pengarah generasi baru seperti Mira Nair, filem tidak mungkin tamat kalau si penyangak tidak dihukum. Tidak hairanlah kalau pelakon Prem Chopra selalu mengakhiri wataknya dengan keinsafan atau menerima hukuman.

Keinsafan dan pembalasan adalah penting dalam konteks filem Melayu yang membesar dengan pengaruh India. Tanpa kedua-dua ini, filem atau drama Melayu dianggap melanggar acuan yang diterima sekali gus diharapkan oleh khalayak.

Kerana itu jangan memperkecilkan lima minit terakhir dalam drama atau filem kita. Ini kerana orang akan lebih banyak bertanya nilai moralnya bukan motif ceritanya.

Dalam konteks ini nilai moral dalam Unforgiven arahan Clint Eastwood mungkin terkeluar daripada kongkongan acuan cerita seperti yang diharapkan daripada filem Melayu. Unforgiven filem tentang orang bersalah yang mahu menjadi baik dan terus menjadi jahat.

Bayangkan kalau filem atau drama Melayu tanpa lima minit terakhir yang menyaksikan watak hitam bertukar menjadi putih. Ini yang paling berkesan untuk memberi suntikan moral sebagaimana dimahukan penonton.

Demikianlah besarnya pengaruh Poetic Justice terhadap penonton filem dan drama Melayu. Konsep baik dibalas baik dan jahat dibalas baik telah sekian bercambah dan melekat pada pemikiran penonton dan karyawan.

Mereka pasti mendepani krisis keyakinan kalau mahu keluar daripada acuan yang menimbulkan persoalan; apakah ini sahaja seni bercerita yang terbaik atau fobia terhadap acuan itu?

Beberapa karyawan filem generasi baru memperlihatkan karya yang terkeluar daripada konsep ini tetapi seperti biasa, penonton terus meletakkan poetic justice sebelumnya sebagai kayu ukur.

Apa lagi dengan persepsi yang menjurus kepada pemaparan moral yang total. Persoalan karya bermoral dan tidak bermoral telah sekian lama menutup pandangan yang lebih luas, bebas dan kritikal.

Masalah ini bukan sahaja melanda khalayak filem dan drama malah dalam bidang sastera juga tidak ada bezanya. Kebanyakan sasterawan masih terikat dengan elemen yang sama dalam karya-karya mereka.

Semasa filem Tsu Feh Sofiah (1986) arahan Rahim Razali ditayangkan, banyak penonton tidak puas hati dengan penamat filem itu. Di mana moralnya kalau penyangak yang menculik Sofiah tidak dibawa ke muka pengadilan, tanya mereka.

Watak penyangak lakonan Ahmad Tarmimi dan Dr. Ghouse Nasaruddin tidak menerima pembalasan sebagaimana biasa. Tarmimi dan Dr. Ghouse tidak meratap hiba kerana menyesal dengan perbuatan mereka.

Sama juga Matinya Seorang Patriot (1984) arahan Rahim yang penamat filem itu tidak ada adegan anggota polis memberkas pembunuh lembaga pengarah Melati Holding. Filem ini mengelirukan, kata penonton.

Tarmimi atau Dr. Ghouse tidak seperti Awie penjahat dalam Maria Mariana II yang mati ditembak pada akhir cerita. Penonton akan keluar dari panggung dengan selesa apabila penjahat serakus lakonan Awie menerima pembalasan.

Penonton tentunya tidak boleh dipersalahkan kalau kurang senang dengan cara Rahim menamatkan filemnya. Mereka terdedah dengan seni bercerita yang menjadi acuan rasmi filem dan drama Melayu.

Kerana itu penyangak yang sekejam mana sekalipun dalam filem atau drama Melayu tidak perlu dikhuatiri kesesatannya. Pada lima minit terakhir kita pasti akan kembali ke pangkal jalan. Kita dapat menyaksikan watak hitamnya menjadi seputih kapas. Kalau tidak, dia dihapuskan sebagai simbol pembalasan.

Sama juga kisah suami yang kaki perempuan, kaki judi kalau tidak cukup lagi kejahatannya, pasti dia juga menjadi kaki botol. Kejahatan atau kesesatan yang luar biasa itu tidak perlu difikirkan. Lima minit yang merupakan waktu keemasan itu, dia akan menyesali perbuatannya.

Sekadar bertanya, bagaimana kalau footage lima minit terakhir semua filem Melayu disunting dan dipersembahkan semula? Apakah ini akan menghasilkan ''filem'' yang cukup ''bermesej''?

Sumber: Utusan Online (30 April 1998)



Filem Cereka: A|B|C|D|E|F|G|H|I|J|K|L|M|N|O|P|Q|R|S|T|U|V|W|X|Y|Z Mula


Penafian
Laman web Filem Malaysia (www.filemkita.com) merupakan sebuah laman web berasaskan maklumat mengenai filem-filem buatan Malaysia dan filem-filem Melayu (terbitan Tanah Melayu/Malaya dan Singapura) sejak tahun 1933 hingga era 2000. Segala maklumat, tulisan, gambar, dialog, senikata dan klip audio/video adalah hak milik pengeluar filem dan para karyawan, seniman/seniwati dan penulis yang terlibat. Sebarang penyalahgunaan bahan-bahan dalam laman web ini adalah ditanggung sepenuhnya oleh mereka yang tidak bertanggungjawab tersebut.

Penghargaan
Setinggi-tinggi terima kasih kepada pihak yang bekerjasama memberi sumbangan ikhlas bagi melengkapkan maklumat dalam laman web ini.

Komen & sumbangan

Hantarkan kepada kamal@filemkita.com

Teruskan menyokong dan membangunkan Filem Malaysia. Syabas!


Idea, rekabentuk & pengumpulan maklumat oleh Kamal Hakcipta laman web 1999-2004 khyswebdesign
Lain-lain hakcipta adalah terpelihara