Maklumat
Seni Filem
Seni filem -
direvolusikan oleh teknologi digital
Seni filem dikatakan sudah berhenti perkembangannya selepas berakhirnya gelombang generasi baru
pembikin filem Peranchis pada lewat tahun 1960-an dahulu. Filem menemui kesempurnaan krafnya ditangan
D.W Griffith yang menghasilkan The Birth of A Nation dan ditangan Sergei Eiseinstein yang menghasilkan
The Battleship Potemkin, filem sempurna sebagai sebuah karya
seni.
Tetapi di kalangan pembikin filem dan pemikir seni di Perancis, filem adalah karya seni yang ditanggapi
secara serius dan mereka bertanggungjawab membawa revolusi baru terhadap filem sebagai sebuah karya
seni.
Dari mereka juga lahirnya teori auteur yang melihat pengarah filem adalah seorang pengarang dalam
konteks filem. Gelombang pengarah baru Perancis bertanggungjawab menghasilkan filem-filem yang
merevolusi dan mendefinasikan semula gaya dan pendekatan dalam pembikinan filem yang terkeluar dari
tradisi popular filem-filem Holywood.
Selepas gelombang ini, dunia hanya mengeluarkan filem seni yang baik atau buruk sahaja. Tetapi apakah
benar revolusi terhadap seni filem sudah lama kaku?
Perkembangan pemikiran dan ideologi seni filem mungkin sudah lama beku dan kaku, tetapi filem yang
mengabungkan teknologi dan seni kreatif semakin berkembang dahsyat bersama majunya teknologi
komputer digital. Perkembangan teknologi digital telah membawa cara baru pembikinan seni filem, malah
turut mempengaruhi citarasa serta pemikiran penonton. Dengan teknologi imej penjanaan komputer (CGI),
hanya sempadan imaginasi karyawan yang mampu membatasi kemampuan teknologi komputer untuk
menjadikannya sebuah realiti.
Bayangkan jika Jaws atau Star Wars dihasilkan ketika teknologi CGI seperti hari ini? Bagaimanapun
teknologi digital dalam industri pembikinan filem hari ini adalah bermula dari pembikin filem genius seperti
George Lucas dan Steven Spielberg. Mereka bukan sahaja bertanggungjawab membawakan teknologi untuk
mencapai taraf seni yang tinggi, tetapi turut sama bertanggungjawab merevolusikan pembikinan dan cara
tontonan filem hari ini.
Hari ini teknologi digital bukan lagi sekadar menghasilkan dinosaur atau patung permainan, tetapi mereka
telah melangkah untuk menghasilkan aktor manusia yang real dari komputer sepenuhnya. Bayangan ini
bukan lagi sekadar impian tetapi akan menjadi real dengan terhasilnya filem Final Fantasy, sebuah filem
fiksyen sains yang mengisahkan bagaimana manusia di bumi memberikan tindak balas terhadap serangan
makhluk asing ke dunia pada tahun 2065.
Filem terbitan Columbia Pictures dengan belanja melebihi AS$70 juta akan menjadi filem digital pertama
menggunakan aktor digital sepertimana dinasour dalam filem Jurassic Park arahan Steven Spielberg. Filem
arahan Hironobu Sakaguchi ini menggabungkan 200 animator dan artis dan mereka telah bekerja lebih dari
dua tahun untuk menrealisisasikan filem ini. Bersama mereka adalah pakar efek dan digital yang pernah
turut sama menghasilkan efek khas filem Titanic dan The Matrix.
Apakah kesempurnaan realisme yang dicapai dengan lahirnya The Final Fantasy, maka masa depan
manusia sebagai pelakon akan turut terancam? Secara sinis mereka melihat idea untuk menghasilkan aktor
digital ini akan mampu membuatkan pelakon semahal Mel Gibson akan berfikir dua kali untuk meletakkan
harganya. Ini kerana harga untuk melahirkan "seorang" aktor digital lebih murah berbanding dengan harga
Mel Gibson sebanyak AS$25 juta untuk sebuah filem.
Barangkali dengan lahirnya The Final Fantasy cukup juga untuk Spielberg menilai semula kata-katanya
bahawa tidak mungkin teknologi digital mampu menyaingi keupayaan emosi dan desah nafas seorang
pelakon manusia yang berdarah berdaging. The Final Fantasi barangkali masih mempunyai beberapa
kelemahan untuk dia mencapai tahap kesempurnaan realistik, tetapi sepertimana juga dinasaur yang
dihasilkan oleh Spielberg dalam The Jurassic Park (1993), ia akan terus diperbaiki dan
dimantapkan.
Perkembangan teknologi perfileman yang berkembang hebat dengan memanfaatkan kecanggihan
perkembangan teknologi komputer digital mungkin juga akan turut berkembang di Malaysia dengan siapnya
E-Village projek yang diusahakan oleh Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDC). Dengan
mengesampingkan aspek hiburan yang digembar-gemburkan oleh banyak pihak (hiburan juga perlu dilihat
dalam konteks yang lebih luas dan tidak hanya disinonimkan dengan hiburan murahan), E-Village barangkali
akan menjanjikan sesuatu yang cukup bermakna kepada industri perfileman negara
ini.
E-Village menjanjikan kecanggihan teknologi digital kepada pembikin filem dinegara ini dan pada masa yang
sama kecanggihan teknologi yang disediakan sudah pasti akan membawa lebih banyak pembikin filem luar
ke negara ini. Hal ini sedang berlaku di Australia, di mana pembikin filem Hollywood sedang berlumba-lumba
menghasilkan filem-filem berteknologi tinggi di Australia.
Filem-filem seperti M:1-2, Soft Fruit, The Matrix, Babe II dan yang sedang disiapkan Star Wars: Episod II
adalah filem-filem yang bergantung kepada efek digital
sepenuhnya.
Australia atau secara tepatnya Sydney berupaya menyediakan tenaga kreatif yang mampu menghasilkan
efek khas yang diperlukan dan disamping menyediakan kelengkapan pada harga yang
berpatutan. Bagaimanapun Australia tidak muncul mudah dengan memperaga dan menjual kemudahan dan keupayaan
kelengkapan serta tenaga kreatifnya sahaja. Mereka terlebih dahulu telah menjual nama mereka dipersada
antarabangsa dengan penghasilan filem-filem yang bermutu tinggi secara konsisten sejak sekian lama.
Industri filem mereka juga berkembang hebat dan Sydney sedang meletakkan dirinya bersama Hollywood,
Bollywood dan Hong Kong sebagai kotaraya filem dunia. Maka, untuk E-Village yang akan dilancarkan pada
bulan September ini, menjadi pusat perhatian industri filem dunia, harus juga dilihat bagaimana keadaan
industri filem tempatan.
Sejauh mana kemampuan industri filem tempatan di persada filem antarabangsa? Cukuplah, industri filem
tempatan kita dengan segala riuh-rendahnya yang kosong. Lihat tahun ini, berapa jumlah filem yang telah
dihasilkan dan dari jumlah itu atau dari filem yang dihasilkan bolehkan kita berbangga dengan kualiti
seninya? Kemantapan industri filem tempatan akan dengan sendirinya menjayakan E-Village
nanti.
Untuk itu sudah bersediakah para pembikin filem tempatan dengan filem-filem berkualiti dan dihormati
dipersada antarabangsa? Jawapannya mungkin panjang dengan pelbagai permasalahan yang sukar difahami
atau pendek dengan "tidak". Jika tidak, pembikin filem kita akan hanya menjadi pemerhati karyawan luar
berkarya dan menggunakan kelengkapan canggih di E-Village.
Sumber:
Utusan Online (4 Ogos 2000)

|