Maklumat
Seni Filem
Imej kota dalam filem
melayu
Oleh: A.
Wahab Hamzah
Sebuah kota bukan sekadar latar dalam sesebuah filem. Kota yang menjadi latar juga adalah karektor
utama dalam sesebuah filem. Kota boleh muncul secara material dan juga mental baik dalam novel,
cerpen, puisi atau filem.
Kota adalah ciptaan manusia. Kota juga membawa mesej ketidaksempurnaan kita sebenarnya. Ia sering
mencerminkan harapan, ketakutan, mimpi dan kekecewaan manusia. Di kota juga bercambahnya
pandangan yang optimis dan pesimis.
Di kota orang boleh memperolehi apa sahaja dan juga boleh menggerakkan kepada kehancuran. Inilah
aesthetic ecology sebuah kota.
Maka tidak hairan kota membawa karektor yang menarik banyak pembikin filem. Ini kerana kota sering
dilihat sebagai pentas di mana drama tentang kehidupan sosial
dipentaskan.
Filem-filem Martin Scorsese umpamanya sering melihat kota memberikan kesan psikologi kepada individu
yang mungkin sahaja mewakili sesuatu kelas atau ideologi. Hubungan itu sering pula dilihat berinteraksi
dengan persekitaran kota yang antagonistik.
Malah filem-filem Scorsese cukup setia dengan tema yang melibatkan pergelutan dan pertentangan
kehidupan kota. Watak-wataknya kebanyakannya gagal dalam pengasingan mereka di tengah kota yang
menjadi antagonism.
Filem-filem Scorsese seperti Mean Streets, Taxi Driver, After Hours dan Raging Bulls melihat New York lebih
dari sekadar sebuah kota yang dihuni oleh orang yang keras, jalan-jalan yang sesak, pergaduhan atau
pelacur.
Tetapi New York adalah sebenarnya juga gambaran dari kekalutan fikiran Travis Bickle dalam Taxi Driver,
kekerasan dan kekacauan Jack La Motta dalam Raging Bulls atau paranoia Paul Hackett dalam After Hours.
Dalam Once From The Heart arahan Francis Ford Coppola, Las Vegas adalah sebuah kota yang menjual
mimpi. Dan imej ini dipancarkan melalui ciptaan set dan rekaan cahaya yang semuanya didirikan di dalam
studio khas. Kesannya sebuah kota yang artifisial.
John Carpenter umpamanya melihat kota New York dalam Escape From New York sebagai kota yang
keras, kelam, kumuh dan ganas yang dipenuhi dengan para
penyangak. Ini adalah pandangannya untuk kota New York masa depan. Dan pandangan ini adalah berbeza dengan pandangan Ridley Scott dalam Blade
Runner yang melihat sebuah kota masa depan yang misterius dan penuh
ancaman.
Dalam Falling Down arahan Joel Schumacher, kesesakan jalan raya adalah karektor utama. Ini menyumbang
kepada tekanan dan tindakan karektor utama dilakonkan oleh Michael Douglas.
Filem Melayu kontemporari sebenarnya juga mempunyai pandangan yang tersendiri tentang kota
terutamanya kota Kuala Lumpur. Dan pandangan yang hampir sama ini juga yang ditonjolkan dalam novel,
puisi atau cerpen Melayu.
Dua buah filem Melayu yang memberikan citra yang menarik tentang kota dan kesannya kepada kehidupan
warganya ialah filem Kembara Seniman Jalanan dan Rozana Cinta '87. Kedua-duanya arahan Nasir
Jani.
Dalam filem-filem ini, Kuala Lumpur menjadi sebahagian dri karektor utamanya yang memberikan kesan
psikologi yang tersendiri kepada karektor filem-filem tersebut. Dalam Kembara Seniman Jalanan, anak-anak
muda kota yang menjadi pemuzik jalanan perlu bergelut dengan kekerasan kehidupan kota Kuala
Lumpur yang penuh pancaroba demi survival untuk menjadi pemuzik.
Kemelut kota inilah yang kemudiannya merangsang tindakan mereka. Begitu juga dalam Rozana Cinta '87,
kota Kuala Lumpur telah membentuk budaya baru kehidupan anak-anak
mudanya.
Filem Melayu banyak melihat kota, terutamanya Kuala Lumpur dengan pandangan yang
pesimis. Kota adalah tidak suci, bersarang maksiat yang membawa kepada kehancuran, menipisnya
kepercayaan, masalah moral dan keluarga.
Dan ini berlainan dengan kehidupan desa yang murni biarpun masih dibaluti dengan
kemiskinan. Watak-watak yang berdosa di kota akan pulang ke desa untuk
disucikan. Dalam Bintang Malam (Adman Salleh), Balik Kampung (Zainal Othman) dan
Pesona Cinta (Arief Karmahani), meliu kota dilihat sebagai keras,
bersarang maksiat dan mudah mengecewakan.
Inilah antara karektor kota dalam filem-filem tempatan. Secara visual, kota tidak diberikan visual yang
sejujurnya. Dalam filem Rozana Cinta '87, imej Kuala Lumpur sungguh berbeza visualnya. Dalam Balik
Kampung, shot pengenalan kota Kuala Lumpur dibuat dalam shot yang padat dan cantik dan dalam warna
yang romantis.
Ini bersesuaian dengan imej Kuala Lumpur sebagai kota impian tiga orang pemuda yang berhijrah ke kota
dari desa untuk mengejar impian dan harapan.
Bagaimanapun dalam Bintang Malam dan
Pesona Cinta, kota Kuala Lumpur menjadi latar yang digambarkan sebagai kota keras, ganas dan sarang
maksiat. Semua imej negatif tentang kota dalam filem-filem ini terselindung di sebalik gemerlapan cahaya neon
kota.
Kecenderungan filem Melayu memberikan imej negatif tentang kota sudah lama berada di fikiran pembikin
filem dan kecenderungan ini sudah hampir sebati dengan penonton filem tempatan. Ini mungkin kerana kota
berkait rapat dengan perniagaan dan kekayaan.
Ahli-ahli perniagaan yang berjaya dan orang kaya semuanya tinggal di kota. Dan bukankah banyak filem
Melayu malah sebahagian novel tempatan sejak dari dahulu mempunyai pandangan yang tidak senang pada
kekayaan dan kejayaan ahli perniagaan. Dan pandangan yang prejudis dan pretentious ini berterusan
dalam filem-filem tempatan. Secara jujur, kota dan warganya harus juga diberikan imej yang lebih
seimbang.
Sumber:
Utusan Malaysia (10 Januari 1997)

|