Maklumat
Seni Filem
Kelas menengah dan filem
Oleh: Hishamuddin Rais
Penonton dan peminat filem Melayu baru saja dipertemukan dengan Layar Lara. Filem ketiga daripada
Suhaimi Baba sesudah Selubung dan Ringgit Ke Syorga. Kemudian penonton dipertemukan pula dengan
Azam arahan Z. Lokman.
Berbanding dengan Merah filem debut M. Nasir pembuka tirai tahun ini, Layar Lara dan Azam kelihatan
gagal mendapat sokongan penonton.
Jika trend ini berterusan, semakin jelas kelihatan perkembangan filem Melayu sedang menghadapi
krisis. Memang telah lama dirasakan seperti ada kulat di dalam bingkai filem Melayu. Kulat apakah yang
melahirkan krisis ini masih belum dapat dikenal pasti. Lihat sahaja Layar Lara satu-satunya filem Melayu
yang digarap dengan penuh cinta seni oleh Suhaimi Baba.
Suhaimi dengan sedaya upaya memperkenalkan sound sync (istilah popular di sini direct sound). Suhaimi
juga telah melatih para pelakon untuk mendalami watak. Protoganis utama dalam Layar Lara terdiri
daripada pelakon yang telah dicuba dan amat berpengalaman.
Suhaimi juga menggunakan steadycam - kamera yang tidak perlu terletak tetapi boleh mengikut gerak
langkah aktor. Semua ini diadun oleh Suhaimi untuk melahirkan Layar Lara. Hasilnya? Layar Lara tidak
mendapat sokongan para penonton yang diharap-harapkan datang
menonton.
Di mana kesilapannya? Memang Layar Lara bukanlah satu filem Melayu yang flawless tetapi ia lebih
dianggap sebagai filem Melayu yang terbaik pernah dihasilkan di negara
ini.
Mungkin segi penceritaan (visual story telling) pada dua minit pertama Layar Lara gagal menjaring hati
penonton untuk memasuki dunia Manjalara binti Wagiman. Mungkin juga kerana suntingan yang begitu
kasar menjadikan penonton tertanya-tanya tentang arah dan jalan
cerita.
Suhaimi seperti di dalam Selubung dan Ringgit ke Syorga cuba sekali lagi membawa berbagai-bagai plot dan
isu. Ini cara dan style penceritaan Suhaimi. Apakah ini yang menyebabkan penonton menjauhkan diri
daripada Layar Lara? Adakah jalan ceritanya agak susah difahami? Apakah penonton gagal untuk
tahu apa sebenarnya yang ingin diceritakan oleh Suhaimi dalam Layar Lara - ada kisah primadona
Manjalara, kisah kehidupan pelakon veteran, kisah orang buat filem dan cerita tanah orang Melayu dirampas. Semua ini
diolah oleh Suhaimi sehingga kelihatan tema sampingan ini bukan jadi tema
sampingan.
Apakah kerana terlalu banyak cerita berjalan seiring sehinggakan penonton tidak tahu cerita siapakah
sebenarnya di dalam Layar Lara. Kalau ini yang menyebabkan penonton lari bagaimana pula dengan Azam
arahan Z. Lokman. Ini filem terbaik garapan Z. Lokman, seorang pengarah paling
prolifik.
Azam sebuah filem yang serius yang wajib diberi perhatian yang serius. Z. Lokman menggunakan struktur
naratif yang selari dan struktur visualnya senang difahami.
Azam ialah sebuah filem sosial kritik terhadap diri kita sendiri sebagai anggota masyarakat yang gagal
menerima kembali seorang bekas banduan yang telah berubah.
Prasangka kita terhadap bekas-bekas banduan digambarkan oleh Z. Lokman di dalam Azam walaupun tidak
mendalam tetapi tepat. Perwatakan dan plot di dalam Azam memang boleh
diperbaiki.
Perwatakan protaganis di dalam Azam memang agak cetek dan tidak berkembang. Z. Lokman telah
membebaskan dirinya daripada pretensious filem making.
Z. Lokman cukup jujur sebagai pembuat filem dari dunia ketiga. Dia tidak menggunakan gerak kamera yang
hebat. Atur bingkai dan loksinya mengenangkan kita kembali ke zaman Cathay Kris.
Sekali imbas kelihatan Azam seperti filem hitam putih Perancis sebelum perang. Ambience kampung nelayan
dapat menggambarkan kemelayuannya. Inilah keindahan dan kesenian di dalam Azam. Syabas! Z.
Lokman.
Tapi kenapa seperti Layar Lara, Azam juga ditolak. Kedua-dua filem ini gagal untuk mendapat pulangan
tiket yang menggalakkan. Apakah kesalahan Suhaimi Baba dan Z. Lokman sehingga kita menolak kerja seni
mereka. Di sinilah kita perlu melihat sikap kita sebagai manusia berbudaya - apakah kita manusia
berbudaya telah menerima filem sebagai satu bentuk seni.
Jika kita tidak menerima filem sebagai satu bentuk seni budaya Melayu ia tidak akan timbul apa-apa
persoalan. Tetapi jika kita mahu filem menjadi sebahagian daripada elemen budaya kita maka wajiblah
manusia berbudaya ini melakukan sesuatu.
Di lihat secara impirikal, tamadun mana pun bila saja keperluan asas (makan, minum dan
pakai) telah disempurnakan, manusia akan memerlukan bentuk-bentuk
seni untuk mengisi keperluan kerohanian.
Maka lahirlah lukisan, ukiran, novel, bangsawan, sandiwara, filem dan lain-lain. Bersama ambience
keghairahan seni ini akan berkembang bersama meningkatnya keintelektualan sesuatu
bangsa.
Kalau diperhatikan sekilas imbas kelihatan telah muncul dan membesar golongan Melayu yang pada dasar
ekonominya telah kukuh. Bolehkah kita menganggap mereka inilah yang menjadi kelas menengah Melayu
(the Malay middle class)?
Secara zahir mengikut patukan ekonomi memang mereka ini boleh dianggap kelas menengah tetapi untuk
menjadi kelas ini memerlukan lebih daripada wang ringgit. Kriteria yang paling penting untuk menghalalkan
kedudukan inilah pandangan budaya mereka - the cultural attitude.
Pandangan budaya inilah menilaikan mereka sebagai kelas menengah di dalam mana-mana
tamadun. Kelas ini wajib menjadi teraju budaya satu-satu bangsa.
Merekalah penyokong kuat dan penilai segala macam bentuk seni. Kelas menengahlah yang akan menjadi konsumer segala bentuk bahan
bacaan. Mereka jugalah yang akan menjadi peminat dan pengunjung sandiwara, bangsawan atau teater. Mereka seharusnya
membawa anak-anak mereka berkunjung ke balai-balai seni, ke pawagam, ke dewan sandiwara atau ke
dewan muzik sebagai bahan didikan dan insurans penerapan worldview mereka kepada generasi
yang akan datang. Daripada kelas inilah munculnya hantu-hantu buku dan penggiat berbagai bentuk seni. Tapi
kelihatan semacam ada kejanggalan telah berlaku di negara kita.
Kelas ini kelihatan lumpuh budaya seninya. Mereka gagal untuk menikmati kerja-kerja seni. Ini dibuktikan
dengan kegagalan kelas menengah Melayu untuk memberi sokongan terhadap filem Melayu. Kerja seni
Suhaimi dan Z. Lokman walaupun berbeza-beza telah tidak dipedulikan oleh
mereka.
Ada hujah yang menyatakan mereka ini tidak mahu menonton filem Melayu kerana takut jatuh martabat
mereka sebagai anggota kelas menengah. Mereka segan untuk dilihat menonton filem Melayu. Tapi di
dalam masa yang sama merasa tidak segan pergi menonton filem-filem dari Hollywood reject seperti Judge
Dred atau Twister yang dibuat bukan untuk mengisi ruang seni manusia yang ada budaya
fikir.
Ini bermakna orang Melayu bukan tidak menengok wayang cuma mereka tidak menengok filem
Melayu. Apakah kelakuan ini kerana kita masih belum lagi dapat membebas atau memerdekakan diri kita sendiri
daripada post colonial psyche.
Cinta seni kita masih lagi dijajah, dan kita tidak dapat menerima kerja seni yang dibuat oleh pekerja seni
kita sendiri.
Apakah kita sendiri tidak berani menerima kerja seni Suhaimi Baba, Z. Lokman, Yusof Haslam atau sesiapa
saja pembuat filem Melayu. Yusof Haslam, Adman Salleh, U-Wei, Suhaimi Baba dan Z. Lokman semuanya
pembuat filem yang berbeza-beza. Semua adalah pekerja seni yang memerlukan sokongan daripada
manusia budaya kelas menengah Melayu yang berfikir.
Suhaimi Baba adalah satu-satunya pengarah wanita di tanah air. Suhaimi Baba adalah salah seorang
pengarah wanita di dalam dunia filem. Bila Layar Lara gagal ditonton seolah-olah kelas menengah Melayu
tidak memberi penghormatan kepada Suhaimi. Penghormatan yang diperlukan bukan title yang besar tapi
memadailah dengan pergi menonton kerja seni yang dibuatnya. Sesudah ditonton barulah membuat
keputusan sama ada kerja seni beliau baik atau tidak.
Kritikan dan pandangan yang membina hanya timbul setelah filem itu ditonton. Semua kritikan dan
pandangan amat diperlukan oleh sesiapa saja yang mengakui dirinya sebagai pekerja
seni.
Antara pembuat filem dengan manusia budaya ada hubungan symbiotic, sokong menyokong untuk
melahirkan budaya bangsa filem Melayu. Hal ini tidak akan wujud tanpa sokongan kelas menengah
Melayu.
Sumber:
Utusan Online (20 Mac 1997)

|