

"Maka kadang-kadang cinta itu lahir sememangnya bukan untuk
disatukan. Dan meskipun ianya tidak bersatu di dunia nyata namun cinta itu masih terus harum sewangi
kasturi"






|
filemkita.com/promosi
DRAMA BERSIRI -
HARYATI 2
Haryati 2 adalah kesinambungan daripada drama HARYATI yang telah ditayangkan di Saluran TV1 pada tahun 2003. Drama ini
telah diterbitkan oleh GLOBAL STATION SDN BHD di bawah arahan ERMA FATIMA. Drama ini berjumlah 20 episod dan ianya bakal
ditayangkan di saluran TV1, setiap hari Jumaat bermula 3hb Disember 2004 pada jam 9.00
malam.
Arahan ERMA FATIMA
Penerbit ZAITON MUHD JIWA
Terbitan GLOBAL STATION SDN BHD
Lakonan
UMIE AIDA rusdi ramli LYN NASIR aeron aziz
NISDAWATI azreen AZRI ISKANDAR watie elite
FASHA SANDA ady putra RAZAK AHMAD ellie suriaty
MAS AF dan lain-lain
Drama berkisar tahun 60an dan 80an ini telah menjalani penggambaran di sekitar Padang Indonesia, Rembau Negeri Sembilan,
Pulau Pinang, Terengganu, Cherating Pahang dan sekitar Kuala Lumpur. Ianya memakan masa penggambaran selama 110 hari.
Haryati 2 merupakan kisah cinta yang menarik dan menyentuh adat pepatih antara Negeri Sembilan dan Padang, Indonesia.
Bersama ini kami sertakan serba sedikit jalan cerita HARYATI 2 untuk makluman
semua.
HARYATI 2 (20 EPISOD /
48 MINIT)
Kepulangan Haryati (Umie Aida) ke kampungnya sangat-sangat menyakitkan Saidin (Rusdi Ramli) sehinggakan dia menderita
sekali lagi dan melarikan diri ke Padang untuk memulakan hidup baru sekali lagi. Apa pun tidak semudah yang disangkakan untuk
dia mampu melupakan Haryati. Kehilangan Haryati ibarat kehilangan roh didalam jasadnya. Haryati pula memulakan kehidupan
barunya dengan nekad bahawa sejarah hidupnya akan terus dilupakan. Baginya Azam (Aqasha) dan Saidin akan terus
dikuburkan meskipun kematian Saidin tanpa bernisan.
Haryati kini menjadi janda yang digilai oleh penduduk kampung. Kecantikannya mampu menambat ramai jejaka-jejaka kampung
disitu. Bagi Haryati cintanya juga sudah tidak mampu lagi diberikan kepada mana-mana lelaki selain dari tuhan. Tubuh kecilnya
sudah tidak sanggup menanggung kesengsaraan dalam percintaan, namun Haryati hanya mampu merancang, tuhan yang
menentukan. Itu terpaksa diakurnya. Tanpa disedari, beliau hamil hasil perkahwinannya dengan Azam.
Saidin pula kini makin hanyut melayan perasaannya yang makin layu. Sudah tidak ada apa-apa lagi didunia ini yang mampu
mengubati lukanya yang makin parah itu. Kehancuran itu telah membuatkan Saidin menjadi benci dan dendam pada manusia
yang bernama Haryati. Dendamnya itu mahu diubati dengan memaksa dirinya untuk mengahwini seorang gadis Padang bemama
Jamilah (Azreen ).
Perkahwinan Saidin menghasilkan dua orang cahayamata bemama Zainuddin (Adi Putra) dan Aliza (Lydia). Maka kedua kekasih
ini melayari kehidupan rumahtangga mereka sebagai satu penyelesaian kepada kekecewaan. Haryati juga telah menghasilkan
seorang anak bernama Harlina (Nisdawati).
1980:
Zainuddin (21 thn) dan Harlina (22thn) kini menuntut di Universiti Malaya jurusan Sastera. Zainuddin dan Harlina seperti
dipertemukan untuk menyambung cinta ibu bapa mereka yang terputus ditengah jalan. Pada mulanya mereka ibarat musuh
lebih-lebih lagi Zainuddin merupakan pelajar Terbaik didalam bidang sastera. Harlina tersangat cemburu dengan kewibawaan
Zainuddin. Beberapa isu semasa serta mata pelajaran mereka dijadikan medan untuk mereka bertelagah. Zainuddin yang
mempunyai sifat ego yang amat sangat selalu menghentam Harlina sehingga dia tidak sanggup menerima kutukan dan kritikan
Zainuddin yang dianggapnya terlalu berlebihan ego sebagai pelajar terbaik. Sudahlah baginya, Zainuddin hanya menumpang dari
Padang.
Permusuhan sebenarnya hanya sementara. Atas pertolongan sahabat-sahabat baik mereka yang sudah lama lemas dengan
pertelingkahan dua manusia ini, akhirnya ego Zainuddin tunduk ke kaki Harlina. Bermula sebagai sahabat diskusi, terus kepada
cinta yang akhirnya berputik antara mereka berdua ini. Kelihatannya seperti mereka berdua ini sudah tidak dapat lagi dipisahkan.
Percintaan mereka dapat dihidu oleh keluarga masing-masing. Bagi Haryati, dia tidak memilih siapa yang bakal menjadi
menantunya begitu juga dengan Saidin, cuma Saidin agak terkejut apabila mendapat tahu yang Harlina berasal dari Tanah Adat
tempat lahirnya sendiri. Merajuknya dia kepada tempat itu membuatkan Saidin tidak mahu langsung mengungkap cerita lama itu
kepada isteri mahupun anak-anaknya. Cukuplah segala kepedihan itu disimpan hanya untuk dirinya sendiri. Ada seketika berdetik
juga hatinya tentang siapa Harlina namun dia cuba melawan perasaannya untuk mencungkil kerana baginya Haryati sudah lama
mati.
Selesai sahaja 'graduate', Zainuddin mahu pulang ke Padang seketika untuk menghabiskan rindunya pada kampung halamannya.
Harlina berjanji akan menyusul ke sana untuk bertemu dengan emak dan ayah Zainuddin. Pemergian Harlina tidak begitu
dipersetujui oleh Haryati memandangkan Harlina seorang perempuan seolah-olah perigi mencari timba. Kerana mengenangkan
bagaimana dia dikongkong oleh keluarganya hingga dia banyak memendam rasa, lantaran Haryati membenarkan juga Harlina
bercuti di Padang bersama kekasihnya itu.
Kedatangan Harlina ke Padang disambut baik oleh keluarga Zainuddin. Harlina secara tidak lansung mengingatkan Saidin kepada
Haryati. Hatinya berdetik tetapi dia memaksa dirinya untuk berfikiran positif. Semasa Harlina berada disitu, dia sempat melihat
kematian ibu Zainuddin yang sudah lama menanggung sakit kanser paru-paru. Saidin pula entah kenapa makin sayang pada
Harlina sehinggakan kepulangan Harlina diiringi dengan airmata. Dia menyanyangi Harlina seperti anaknya sendiri.
Sekembali Harlina kerumahnya, dia menyuarakan hasrat Zainuddin yang hendak menyuntingnya kepada Haryati. Namun Haryati
minta supaya Zainuddin bertemu dengannya terlebih dahulu dan memastikan semua berjalan dengan penuh adat istiadat Tanah
Adat kerana itu sangat penting.
Sekembalinya Zainuddin dari padang, Harlina menyuarakan hasrat Haryati dan Zainuddin berjanji akan bertemu dengan ibu
Harlina dalam masa terdekat nanti. Dia berusaha untuk mendapatkan kerja terlebih dahulu begitu juga dengan Harlina.
Akhirnya Zainuddin menjadi wartawan bahagian sastera disebuah akhbar yang agak popular manakala Harlina diterima menjadi
guru disebuah sekolah menengah di Kuala Lumpur. Sekali lagi Haryati berpisah dengan anak kesayangannya itu. Kesibukan
berpindah dan menguruskan kerja baru menyebabkan hal pertunangan dilupakan buat seketika. Sepasang kekasih ini dapat juga
bersama di Kuala Lumpur meskipun dibawah bumbung yang berbeza.
Setelah beberapa bulan, Zainuddin mendapat berita bahawa adiknya akan melansungkan majlis pertunangan. Dia diminta pulang.
Kepulangan Zainuddin bukan sahaja atas urusan pertunangan adiknya tetapi Saidin banyak bertanyakan tentang
pertunangannya dengan Harlina. Saidin mendesak supaya wakil dihantar untuk bertunang. Zainuddin bersetuju, tetapi Saidin
meminta supaya Zainuddin menghubungi temannya di Kuala Lumpur untuk menjadi wakil kepada rombongan peminangan itu.
Zainuddin mengiyakan sahaja.
Harlina mendengar berita itu dengan gembira dan pulang bertemu Haryati untuk menyampaikan berita yang mengembirakannya
itu. Maka hujung minggu, datanglah rombongan Zainuddin yang diketuai oleh Pak Hamzah dan Mak Jurah. Haryati menyambut
rombongan dengan penuh adat istiadat meskipun sekadar majlis merisik dan bertunang. Haryati menerima Zainuddin dengan
tangan yang terbuka dan kedua-dua pihak akhirnya bersetuju pertunangan ini untuk selama 6 bulan sahaja.
Sekembali Harlina ke Kuala Lumpur, beliau mendapat berita buruk bahawa dia telah ditukar mengajar ke Pulau Pinang. Pemergian
Harlina pada mulanya tidak disetujui oleh Zainuddin, tetapi apabila memikirkan masa depan Harlina maka dia terpaksa melepaskan
Harlina pergi juga.
Hari pertama di sekolah, Harlina terpaksa menghadapi ramai pelajar-pelajar bermasaalah sehingga sampai ke tahap dia hampir
putus asa. Tiba-tiba muncul seorang guru praktikal bemama Cikgu Zul (Hadiyanto) telah berusaha memberi semula semangat
kepadanya. Sejak itu, Cikgu Zul sering menjadi rujukan kepada Harlina kerana kelihatannya Cikgu Zul sudah masak dan faham
dengan kerenah murid-murid disitu. Lama kelamaan jarak jauh antara Harlina dan Zainuddin secara tidak langsung, tanpa
disedarinya Harlina telah jatuh cinta pada Cikgu Zul. Kadang- kadang apabila tersedar Harlina cuba untuk melawan perasaan
yang dia sendiri tidak faham datangnya dari mana. Namun semuanya sudah terlambat, hampir kesemua hatinya telah diberikan
pada Cikgu Zul.
Hati kekasih mana yang tidak dapat merasai perasaan terhadap kekasihnya yang jauh dimata. Entah mengapa suatu hari, hati
Zainuddin berdetap mengatakan ada yang tak kena dengan Harlina di Pulau Pinang lantaran dia nekad untuk membuat kunjungan
'surprised' kepada Harlina. Kedatangan Zainuddin disambut dengan dingin oleh Harlina maka tahulah Zainuddin bahawa ada
sesuatu yang berlaku dengan kekasihnya itu. Beberapa kali dia mendesak Harlina untuk memberitahunya kenapa tiba-tiba dia
merasa ada perubahan didalam diri Harlina namun Harlina masih mengelak. Pulanglah Zainuddin dengan perasaan yang
berkecamuk. Sekembalinya di Kuala Lumpur, dia menjadi makin tidak keruan lantaran jalan akhir yang diambilnya ialah bertemu
dengan Haryati untuk mengadu nasib.
Harlina mendapat panggilan talipon dari Haryati yang meminta supaya dia pulang dengan segera. Haryati berhadapan dengan
Harlina dengan cara baik bertanyakan apa yang telah terjadi dengan hubungan mereka. Tidak ada jawapan yang diterima dari
Harlina selain dari meminta supaya tempoh pertunangannya dengan Shafiuddin ditangguhkan. Jawapan itu merunsingkan Haryati
yang merasakan ada yang tidak kena dengan Harlina.
Zainuddin menangung rasa. Dia tak mampu mengadu pada sesiapa selain dari Haryati. Akhirnya Haryati memutuskan supaya
Zainuddin cepat-cepat menghantar rombongan meminang supaya majlis perkahwinan mereka dapat dijalankan dengan kadar
segera. Zainuddin bersetuju. Dia memberitahu Saidin. Malangnya sekali lagi Saidin minta supaya Zainuddin berjumpa dengan
kawan baiknya, sekali lagi untuk menjadi wakil meminang. Zainuddin tidak setuju dan dia mendesak mahukan Saidin sendiri turun
ke Tanah Adat. Akhirnya Saidin terpaksa mengaku pada Zainuddin bahawa dia telah bersumpah sebelum ini untuk tidak
menjejakkan kakinya lagi ke Tanah Adat. Tempat itu terlalu banyak meninggalkan keperitan dan kesakitan kepadanya. Zainuddin
memujuk supaya Saidin tidak lagi hidup dengan sejarah silam kerana itu akan membuat hidup kita tidak keruan. Beberapa kali
dipujuk akhirnya Saidin mengalah.
Manakala cinta Harlina dengan Cikgu Zul seperti sudah tidak boleh dipisahkan lagi. Berat mata memandang, berat lagi bahu
memikul. Harlina terpaksa pulang untuk menyambut rombongan meminangnya itu. Lantaran Harlina mendesak supaya Cikgu Zul
menghantar peminangan dari pihaknya juga pada hari yang sama tetapi waktu berbeza. Harlina nekad untuk menerima
peminangan Zul dan menolak peminangan Zainuddin pada hari itu nanti. Cikgu Zul bersetuju.
Pada hari peminangan, Harlina kelihatan begitu resah menunggu rombongan Cikgu Zul sampai. Malangnya rombongan Zainuddin
terlebih dahulu sampai. Mahu tak mahu dia terpaksa berhadapan dengan keluarga Zainuddin dulu. Keresahan Harlina tidak sama
dengan kegusaran Haryati apabila terjumpa semula dengan Saidin yang sudah terpisah bertahun-tahun lamanya. Mereka
terpaksa berlakun seolah-olah sejarah lama itu tidak ada lagi didalam kotak fikirannya. Mungkin kata-kata dari lidah dua manusia
ini masih lagi mampu dikawal tetapi gerak badan dan keresahan didalam diri masing-masing jelas kelihatan. Beberapa minit
kemudian apabila rombongan Cikgu Zul sampai, keadaan menjadi kelam kabut. Antara hendak melayan kisah lama antara haryati
dan Saidin atau gelora hati Harlina untuk menolak peminangan seorang lelaki yang dulunya tersangat-sangat dikasihi dan
ditinggalkan tanpa sebab yang kuat. Antara rasa bersalah dan kasihan masih kuat didalam diri harlina sesungguhnya. Akhirnya
nafsu cintanya lebih indah dari segala-galanya, Harlina muncul dan memohon maaf kepada Saidin kerana terpaksa menolak
peminangan Zainuddin dengan tidak ada alasan apa -apa selain kononnya jodoh mereka tidak ada. Saidin terkejut. Tiba-tiba dia
teringatkan nasibnya dibumi ini bertahun dulu. Dia jadi sebak kerana sekarang nasib itu telah menimpa diri anaknya pula. Dari
kesedihan timbul rasa marah dan dendam yang meluap-luap didalam dirinya. Saidin pulang.
Zainuddin menerima penolakan itu dengan tenang sekali. Baginya mungkin Harlina lebih sesuai dengan seorang lelaki yang jauh
lebih baik dari dirinya sendiri. Berbeza dengan Saidin yang terasa terhina untuk kesekian kalinya. Begitu juga dengan haryati
yang terasa malu dengan keputusan Harlina itu. Dia serba salah. Kalau ditolak peminangan Cikgu Zul, dikhuatiri perkara tak baik
berlaku. Dia bingung.
Sekembali Saidin ke rumah Zainuddin, dia telah diserang sakit jantung dan dimasukkan ke hospital di Kuala Lumpur. Zainuddin
menghubungi Haryati dan memberitahu perkara itu. Dengan segera Haryati turun ke Kuala Lumpur. Selama seminggu, Haryatilah
yang menunggu Saidin di hospital kalau Zainuddin kerja. Selama itu juga mereka bercerita tentang sejarah lama mereka dan
selama itu juga kasih mereka berputik semula. Meskipun usia mereka sudah tua tetapi kasih sayang yang sudah terbina sekian
lama tidak akan mungkin dapat dilupakan begitu sahaja.
KINI, yang mana harus diselesaikan? Cinta antara Zainuddin dengan Harlina atau kasih yang masih tersimpan menunggu untuk
disambung antara Haryati dan Saidin. Apabila Saidin sudah sembuh, dia dibawa pulang kerumah Zainuddin. Haryati masih lagi
menjaganya. Kebaikan dan kesanggupan Haryati berkorban untuk Saidin sama sekali tidak dapat dihidu oleh Zainuddin akan
sebabnya hinggalah satu hari sekembalinya dari kerja Zainuddin terdengar perbualan mereka. Barulah Zainuddin tahu bahawa
selama ini ayahnya begitu takut hendak menjejakkan kakinya ke Tanah Adat kerana mempunyai sejarah cinta yang pahit disitu.
Sebagai lelaki dia sangat memahami perasaan ayahnya. Untuk itu, dia sanggup korbankan cintanya pada Harlina seandainya
Saidin mahu menerima Haryati sebagai isterinya untuk kali ini.
Sekali lagi tanpa kerelaan hati, Zainuddin mengunjungi Harlina tetapi kali ini bukan atas urusan mereka berdua lagi sebaliknya
tentang Haryati. Maka Harlina yang mendapat berita itu begitu terperanjat mendengarnya. Zainuddin memujuk harlina pulang
mengikutnya untuk menyatukan cinta ibu dan ayah mereka yang telah terpisah lama.
Haryati terkejut apabila melihat rombongan Harlina dan Zainuddin sampai kerumahnya bersama Saidin. SangkanyaHarlina telah
menerima Zainuddin semula tetapi rupa-rupanya berita yang diterima sangat memeranjatkannya. Dia cuba menolak tetapi Harlina
mendesak. Akhirnya Haryati terpaksa akur apabila melihat kesungguhan Zainuddin dan Harlina.
Maka bersatulah antara Cinta dan kasih yang terpisah untuk kesekian lamanya. Kali ini penyatuan itu bukan kerana nafsu tetapi
kerana sesungguhnya cinta adalah untuk disatukan dalam keadaan apa
sekalipun.
Daripada Harris
|